Sunday, July 1, 2012

SYAABAN OH SYAABAN = RAMADHAN

Oleh : Roslan Bin Mat Hassan
 
Mula-Mula
 
“Allahumma Baarik lana fi Rejab wa Syaaban waballighna Ramadhan”, “Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban dan panjangkan umur kami sehingga dapat merasai Ramadhan”. Antara amalan orang arab jahiliyah dan awal islam dulu ialah amat mengagungkan bulan Rejab, sembelih unta, buat pelbagai kenduri, majlis besar-besar, kahwinkan anak, sambut israk mikraj semuanya difokuskan bulan Rejab, menjadikan Syaaban agak sunyi dan tidak dipedulikan. Bila Nabi Muhamad diutuskan tradisi ini dibuat sedikit transformasi, nabi memperbanyak ibadat terutamanya puasa dalam bulan Syaaban, ada ketikanya penuh 30 hari nabi puasa, bila ditanya kenapa nabi berpuasa? Nabi menjawab bulan Syaaban ialah bulan diangkat buku catatan amalan kita bertemu dengan Allah (tukar buku baru kata orang kampung) dan aku suka kalau sewaktu buku catatan itu diangkat aku sedang berpuasa. Nabi menjelaskan Syaaban dinamakan Syaaban kerana di dalamnya terdapat pelbagai kelebihan dalamnya. Untuk maklumat pembaca sekalian, buku catatan amalan kita yang ditulis oleh malaikat Atid dan Raqib diangkat untuk dipersembahkan kepada Allah dengan tiga cara 1. Secara harian iaitu selepas masuk waktu asar, jadi beruntunglah orang yang sembahyang asar pada awal waktu kerana sewaktu buku catatan amalannya bertemu Allah malaikat melaporkan dia sedang solat, waktu itu juga disebut dalam hadis sebagai waktu pertukaran syif malaikat menjalankan tugas. 2. Secara mingguan iaitu hari Isnin, bertuahlah mereka yang berpuasa sunat pada hari Isnin kerana buku catatan amalannya diangkat ketika dia berpuasa. 3. Secara tahunan – iaitu pada bulan Syaaban, jadi perbanyakkan ibadat pada syaaban antaranya berpuasa (sunnah nabi) dan pelbagai jenis amalan lain supaya sewaktu pertukaran ‘buku baru’ kita itu kita sedang melakukan ibadat kepada Allah, selain itu juga menggandakan amal ibadat pada Rejab ini sebagai persiapan mental dan rohani menyambut Ramadhan beberapa hari lagi, semoga kita dipanjangkan umur oleh Allah. Bulan Syaaban juga dicatat dalam sejarah berlakunya pertukaran arah kiblat umat islam dari Baitul Maqdis ke Kaabah, berlaku sewaktu tengah-tengah Nabi bersama sahabatnya solat Zohor rakaat kedua. Nabi berpusing 360 darjah untuk perintah Allah berkenaan.
 
PERSIAPAN RAMADHAN
Ketika artikel ini ditulis, Ramadan akan ditempuhi lebih kurang dua minggu sahaja lagi, apa perasaan kita? Seperti biasa? Tidak rasa apa-apa? Ada azam baru? Teruja? Syukur? Persoalan itu perlu dijawab dengan hati, kita pastinya tidak dapat menipu diri sendiri. Agaknya ini tahun ke berapa kita berpuasa sebagai orang yang akil baligh? Maksudnya umur kita sekarang ditolak dengan 15 (iaitu umur baligh kita secara purata, kira punya kira rupanya sudah banyak tahun kita berpuasa, kalau saya 37 tahun (umur sekarang) - 15 tahun (umur baligh) =22 tahun, alhamdulillah kita sudah beberapa tahun diberi peluang oleh Allah melalui bulan berkat ini. Sempatkah kita untuk Ramadhan tahun ini? Perbanyakkan doa kepada yang sepatutNYA. Untuk bertanding dalam sukan sekolah yang kecil tu pun kita buat persediaan 2-3 minggu, gunanya hanya untuk beberapa jam, seronoknya pula hanya sementara. Ramadhan ini Allah janji dengan pelbagai kelebihan yang memang pasti, gunanya lama, seronok disyurga berpanjangan.......kita wajib bersedia.
 
KITA PERLU BERSEDIA
Kita memang tahu, malah amat-amat tahu kelebihan Ramadhan, pahala amalan sunat dijadikan seperti ibadat wajib, yang wajib pula digandakan oleh Allah dan pelbagai lagi kelebihannya. Saya cuba gariskan beberapa perkara yang sempat difikirkan sebagai panduan bersama sebagai persediaan Ramadhan 1433H.
 
1. Persiapan ilmu
Ulangkaji semula perkara-perkara asas tentang puasa, syarat sahnya, batalnya, makruhnya dan lain-lain lagi. Hayati konsep sebenar puasa dan tujuan disyariatkannya kepada kita, supaya puasa kita tahun ini dengan ilmu, bukan ikut-ikut, buatlah sedikit transformasi. Beli dan beleklah buku-buku tentangnya, dengar kuliah yang bertaburan dari pelbagai sumber (cthnya Halaqah, Tanyalah ustaz, Bicara Pagi, Al-Hidayah dan pelbagai web dari ulama’2 yang muktabar), hadirilah majlis-majlis ilmu, tanyalah kepada orang yang tahu, berbincanglah dengan kawan-kawan berkaitan puasa. Halangannya ialah hati ...nak atau tidak. Insyallah segala ‘kesungguhan’ kita itu sudah akan dicatat Malaikat Raqib sebagai amalan soleh.
 
2. Persiapan harta
Kita sudah boleh berkira-kira berapa peratus daripada pendapatan kita akan digunakan untuk bersedekah nanti, mungkin ada yang kata, “kami selalu bersedekah”, ya ... teruskan jangan berhanti, latih diri bersifat pemurah...tapi kata nabi sedekah bulan Ramadan amat ‘berbeza’ berbanding bulan lain. Mungkin kita boleh gunakan hasil penjimatan wang daripada peruntukan makan kita di bulan-bulan yang lain itu sebagai sumber duit sedekah kita. Menurut Pakar Perancangan Kewangan islam (Dr Rohani) perbelanjaan makan umat islam sepatutnya jimat 66% dalam bulan Ramadan dengan mengambil kira kekerapan makannya yang telah dikurangkan kepada dua kali sehari. Nilai diri kita kalau perbelanjaan makanan kita dalam Ramadan lebih daripada bulan yang lain, mungkin ada yang tak kena di mana-mana.
 
3. Persiapan fizikal
Pastikan kita sihat dan cergas dalam Ramadan, cergas untuk bertarawih, bersemangat untuk bertadarus, berazam untuk qiamullail dsb, untuk itu kita perlu berstamina dari sekarang, pemakanan yang betul, senaman yang konsisten, niatkan kerana Allah, insyallah jalannya akan dipermudahkan.
 
 4. Bayar ‘hutang puasa’ -
bagi yang meninggalkannya dengan uzur perlu bersegera ganti, jangan melewatkannya sehingga di cop Allah sebagai cuai, kemudian kena pula fidyah sebagai hukuman di dunia, mudah-mudahan kita diampunkan Allah di akhirat, ingatkan juga kaum keluarga kita. Baca analogi berikut “orang yang mengetahui pelbagai kelebihan dan berkeinginan mendapat kelebihan dalam Ramadhan tetapi tidak membuat persediaan untuknya seperti orang lelaki yang ‘mati pucuk’. Dia melihat seorang perempuan yang halal padanya dengan penuh bernafsu, serakahnya tinggi menggunung, keiginannya lebih tinggi daripada Gunung Everest, tetapi tidak dapat berbuat apa2 kerana tiada keupayaan, (kata Ust Isa) bunyinya agak kasar, tetapi buatlah sedikit persediaan supaya nafsu mencari berkatnya Ramadan dapat kita capai.. p/s... moga bermanfaat, sebarang maklumbalas amat dialukan, jika ada kesalahan fakta mohon dibetulkan..
Selengkapnya...